fb fb fb fb fb

Malaysia dijangka alami cuaca panas hingga Ogos

(Foto BERNAMA)

KOTA BHARU, 15 April- Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun.
 
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cuaca panas itu membabitkan semua negeri namun yang paling terkesan adalah negeri di utara dan pantai timur.

"Kawasan di utara lebih teruk dan paling ketara dengan ada kawasan bersempadan dengan Thailand mencecah suhu lebih 37 darjah celsius.

"Keadaan ini dijangka berlarutan sehingga Ogos kerana peralihan monsun. Selepas Ogos dijangka kembali hujan," katanya kepada pemberita di sini.
 
Terdahulu, daerah Jeli merekodkan cuaca panas dengan gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut, bermula semalam.
 
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berkata, 15 kawasan lain di semenanjung pula berada pada tahap satu iaitu pada kategori berjaga-jaga.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan kebakaran kawasan tanah gambut di Beris Lalang, Bachok sejak akhir Mac lalu kini merebak sehingga 50 hektar.
 
Kejadian itu dikesan 27 Mac lalu yang ketika itu hanya membabitkan tanah gambut seluas lima hektar sahaja.
 
Ketika ini keadaan di lokasi masih berasap dan belum dipadam sepenuhnya selain dijangka mengambil masa untuk kembali pulih.
 
Kebakaran juga dikatakan telah merebak ke kampung berhampiran dan beberapa langkah segera telah diambil.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sedang giat melakukan operasi pemadaman.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu