fb fb fb fb fb

Malaysia di kedudukan pertama dalam Skor Ketekalan 5G global - Fahmi

Fahmi Fadzil

BARCELONA, 26 Februari- Malaysia kini berada di tempat pertama dalam Skor Ketekalan 5G global pada 97.29 peratus menurut Ookla, satu daripada peneraju dunia dalam pemantauan rangkaian dan cerapan kesalinghubungan.

Ketika mengumumkan pencapaian Malaysia ini pada pembukaan Pavilion Malaysia di Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC2024), Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini merupakan satu pencapaian penting yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai satu pemain terkemuka dalam landskap digital global.

"Skor ketekalan ialah metodologi khusus Ookla untuk mengukur kelajuan, di mana ia perlu memenuhi kedua-dua kriteria (iaitu) muat turun dan muat naik, masing-masing 25Mbps dan 3Mbps.

"Ini bukan hanya membuktikan komitmen Malaysia kepada kemajuan teknologi tetapi juga menggambarkan usaha bersepadu oleh industri telekomunikasi, badan kawal selia dan agensi kerajaan untuk membangunkan infrastruktur 5G yang lasak dan diyakini," katanya

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Pavilion Malaysia di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Skor ketekalan merupakan kaedah khusus Ookla dalam mengukur kelajuan yang perlu memenuhi kedua-dua kriteria - memuat turun dan menaik turun - masing-masing pada 25 megabait sesaat (Mbps) dan 3Mbps.

SITI AISHAH BINTI MD ISA