fb fb fb fb fb

Malaysia-China sepakat tingkat kerjasama strategik serantau

Pertemuan dua hala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri China, Li Qiang di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN 2045 di ibu negara/Foto Facebook PMO

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Malaysia dan China sepakat untuk terus mempertingkat kerjasama strategik serantau khususnya berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembangunan tenaga hijau dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Antara bidang kerjasama yang menjadi tumpuan termasuk sektor ekonomi, perdagangan, industri halal, pengangkutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu dicapai menerusi pertemuan dua hala beliau bersama Perdana Menteri China, Li Qiang di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN 2045.

“Kami senada untuk terus mempertingkat kerjasama strategik, khususnya melalui platform Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang berlangsung di Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Datuk Seri Anwar selaku Pengerusi ASEAN turut merakamkan penghargaan sokongan China dalam usaha meningkatkan solidariti dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global.

Ini menurutnya secara tidak langsung menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat serantau dan global.

“Kerjasama erat ini amat bermanfaat buat Malaysia, China dan seluruh ASEAN. Semoga Sidang Kemuncak ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi rantau secara menyeluruh,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN