KUALA LUMPUR, 22 September - Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan berniat jahat yang menyalahtafsirkan sokongan politik dan usaha kemanusiaannya terhadap rakyat Palestin.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menegaskan, Malaysia secara konsisten memperjuangkan keamanan, keadilan serta menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa dan prinsip kewujudan bersama secara aman dalam kalangan negara.
Menurut kenyataan itu, prinsip asas berkenaan telah menjadi teras dasar luar Malaysia sejak mencapai kemerdekaan.
Selaras dengan prinsip itu, Malaysia dengan tegas menentang penjajahan, pendudukan asing, pelanggaran serius undang-undang antarabangsa termasuk hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan serta dasar aparteid.
Kementerian Luar menjelaskan, sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi keamanan, keadilan, kebebasan dan kemerdekaan, serta penentangan terhadap pendudukan dan genosid oleh rejim Zionis Israel adalah sejajar dengan nilai sejagat yang diiktiraf komuniti antarabangsa.
Kenyataan itu turut menegaskan, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keadilan, menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Kementerian Luar turut menekankan bahawa keadilan dan akauntabiliti sangat penting bagi menjamin keamanan berkekalan, dan menegaskan rejim Zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan atas ketidakadilan berterusan terhadap rakyat Palestin serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.