JAKARTA, 5 September- Malaysia bersedia untuk menyumbang melalui Rangka Kerja Ekonomi MADANI untuk menjadikan ASEAN lebih inovatif, berdaya saing dan mampu berkembang ke pasaran serantau dan global.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ia merangkumi langkah-langkah ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan mengukuhkan industri.
Tambah beliau ASEAN mesti mendorong integrasi ekonomi yang lebih besar dalam ASEAN dan berusaha ke arah seni bina ekonomi serantau yang cergas.
"ASEAN telah mencapai kemajuan sosioekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, daripada mengurangkan tahap kemiskinan, kepada meningkatkan perdagangan antara wilayah dan memajukan inovasi teknologi.
"Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, ASEAN mempunyai gabungan KDNK hampir AS$3 trilion, menjadikan kita ekonomi kelima terbesar di dunia. ASEAN diunjurkan menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang 2030," katanya.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyampaikan
ucapan di hari pertama sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43)
Beliau menyatakan demikian sewaktu menyampaikan ucapan di hari pertama sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Pusat Konvensyen Jakarta JCC, di sini.
Tambah Anwar, ASEAN harus meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, yang kini hanya pada 22.3 peratus
Pengaturan strategik yang lebih baik harus dilakukan untuk meningkatkan integrasi pasaran dan memudahkan pergerakan barangan, modal, tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi di kalangan ASEAN serta rakan kongsi luar.
Perkongsian dengan rakan kongsi luar untuk menyumbang ke arah matlamat ini juga harus dipertingkatkan.