KUALA LUMPUR, 18 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia bebas menentukan dasar perdagangan dan hubungan luar negara sambil menyifatkan dakwaan kononnya kerajaan “menggadai maruah kepada Amerika Syarikat” sebagai tidak benar dan tidak berasaskan fakta.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, tekanan daripada kuasa besar memang wujud, namun kerajaan tidak pernah tunduk atau terikat sehingga menjejaskan kepentingan negara.
Tegasnya, projek strategik bernilai besar termasuk kerjasama nadir bumi, semikonduktor, supermagnet dan pelaburan antara Malaysia dan China terus berjalan tanpa sekatan, sekali gus membuktikan Malaysia tidak terikat dengan mana-mana perjanjian yang melemahkan kedaulatan negara.
"Soal kemerdekaan, maruah, soal gadai. Tak (tidak) betul. Sebab, saya beri contoh, rare earth (nadir bumi) itu di antara yang paling sensitif. Baik. Kemudian, semikonduktor, E&E. Itu yang dua yang dianggap sangat menekan Amerika Syarikat. Jadi, kita setuju. Kalau syarikat itu syarikat Amerika, kita tak boleh langsung eksport cip ke negara China. Tak apalah, pelaburan dia datang Malaysia, syaratnya tak boleh eksport ke negara China dan kita bagi kerjasama."
"Tetapi, ada pelaburan dari Jerman ataupun dari China untuk hasilkan cip dan eksport ke China. Kita kata boleh. Jadi, apabila buat tuduhan, menggadai. Itu tidak betul," katanya.
Tambah Perdana Menteri, Malaysia juga tetap meneruskan penyertaan dalam BRICS sebagai negara jemputan walaupun tidak dipersetujui Amerika Syarikat, sekali gus menggambarkan dasar luar Malaysia yang bebas dan berkecuali.
Beliau turut mengingatkan bahawa kritikan politik tidak boleh berasaskan tafsiran salah terhadap undang-undang antarabangsa, kerana ia boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan keyakinan pelabur.
