KUALA LUMPUR, 22 September - Industri permainan video Malaysia bakal mencuri tumpuan di Tokyo Game Show (TGS) 2025 apabila sembilan studio tempatan menyertai pameran di Makuhari Messe, Jepun dari 25 hingga 28 September ini.
Pavilion Malaysia yang memasuki tahun kesembilan ini diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Studio tempatan seperti Metropolice Studio, Nimbus Games, Youniverse Games dan Les’ Copaque Production akan mempamerkan kepakaran mereka dalam pembangunan permainan konsol dan mudah alih, animasi serta perkhidmatan kreatif digital. Antara tajuk baharu yang bakal diperkenalkan ialah permainan konsol 3D francais popular, Upin & Ipin.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, penyertaan ini membuktikan keupayaan studio tempatan dari pra-produksi hingga pasca-produksi, sekaligus menunjukkan kekuatan Malaysia dalam industri kreatif global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, pameran ini membuka peluang untuk memperkenalkan IP asli Malaysia yang beridentitikan budaya negara kepada pasaran antarabangsa.
Pasaran permainan global dijangka mencecah AS$505 bilion menjelang 2030, manakala Asia Pasifik terus kekal sebagai rantau paling pesat berkembang, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk eksport kreativiti digital Malaysia.