fb fb fb fb fb

Malaysia Airlines, CIT jalin kerjasama perkukuh pelancongan sukan ASEAN

FOTO FB Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 22 September - Malaysia Airlines mengumumkan kerjasama strategik dengan Corporate Information Travel (CIT) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pelancongan sukan di rantau ASEAN melalui produk khusus, MHsports, untuk peminat sukan.

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, “Melalui kerjasama dengan CIT menerusi MHsports, Malaysia Airlines memudahkan peminat sukan mengembara merentasi ASEAN dan menyertai acara serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Eksekutif CIT, Foo Sze Zhaun pula berkata, “Kami berbangga bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk memperkukuh landskap pelancongan sukan serantau. Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk berinovasi mengikut keperluan pelancong masa kini dengan MHsports.”

Menerusi MHsports, kerjasama ini bakal membuka peluang kepada semua peminat sukan, sama ada atlet profesional, pemain rekreasi, mahupun penyokong pasukan kegemaran mereka.

Tambang khas dan kadar berkumpulan turut ditawarkan bagi menggalakkan penyertaan dalam kejohanan serantau dan antarabangsa.

Inisiatif tersebut bukan sahaja mempromosi ASEAN sebagai destinasi pelancongan sukan yang dinamik, malah dijangka memberi impak positif terhadap pertumbuhan pelancongan sukan serta menggalakkan penyertaan lebih meluas di rantau ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE