KUALA LUMPUR, 22 September -Suasana di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pagi ini meriah dengan ketibaan para delegasi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang bermula hari ini.
Seawal pukul 7.00 pagi, kawasan MITEC mula dipenuhi dengan pegawai protokol, petugas media serta sukarelawan yang memastikan kelancaran urusan pendaftaran dan pergerakan lebih 500 delegasi dari negara anggota ASEAN serta rakan dialog.
Kawalan keselamatan turut diperketatkan dengan anggota polis serta pasukan keselamatan MITEC melakukan pemeriksaan rapi di pintu masuk utama.
Para petugas kelihatan bersiap siaga, mengiringi tetamu dan memastikan setiap jadual acara mengikut perancangan.
Suasana sibuk juga dapat dilihat di Pusat Media Antarabangsa (IMC) apabila pengamal media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul bagi membuat liputan, dengan fasiliti teknologi dan sambungan internet sudah tersedia untuk kemudahan mereka.
Mesyuarat dimulakan dengan Mesyuarat Ke-5 Pasukan Petugas Geoekonomi Asean dan diikuti dengan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM) sebelum sesi-sesi lain berlangsung sepanjang minggu, yang akan membincangkan hala tuju kerjasama ekonomi serantau.
Dengan persiapan hampir 100 peratus selesai semalam, penganjuran AEM 2025 ini dijangka berjalan lancar dan sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia dalam menerajui agenda ekonomi ASEAN.