fb fb fb fb fb

BUDI95: Semua rakyat layak terima, pemandu e-hailing dapat pengecualian

Foto fail

PUTRAJAYA, 22 September -Semua rakyat Malaysia layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Kerajaan telah mengambil langkah bagi memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95, antaranya tiada pendaftaran diperlukan untuk subsidi berkenaan.

"Kedua, hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi Ketiga, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan," menurut kenyataan itu.

Di samping itu, MOF memaklumkan terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.

Pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.

Sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pada 28 September.

"Pada 30 September, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif," menurut MOF.

Kerajaan MADANI menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.

TETITIA YUSOFF