AMPANGAN, 28 Januari-Program Malam Kebudayaan MADANI merupakan satu platform untuk memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, program ini dapat mengukuhkan semangat perpaduan, muhibah dan toleransi dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.
Jelasnya, program itu juga memperlihatkan kecintaan terhadap kebudayaan bangsa, sekali gus memberi ruang kepada anak muda untuk mendalami serta mengambil manfaat dari pelbagai bentuk seni yang ada.
"Sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia yang cinta akan tanah air ini kita perlu usaha untuk memastikan bahawa budaya kita tidak hanya dipertahankan tetapi juga diperkembangkan.
"Inilah matlamat utama Program Malam Kebudayaan MADANI yang dianjurkan oleh kerajaan yang bertujuan untuk memelihara dan memartabatkan budaya kita sebagai identiti yang membanggakan", katanya demikian ketika berucap pada majlis Malam Kebudayaan Madani DUN Ampangan 2025 di Dewan Orang Ramai Taman Dusun Nyior, Ampangan pada Isnin.
Dalam majlis tersebut, seramai 500 masyarakat Cina DUN Ampangan menerima sumbangan serta ang pau sempena Tahun Baharu Cina 2025.