KUALA LUMPUR, 28 Januari-Empat laluan baharu akan diperkenal oleh perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula 1 Februari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata perkhidmatan baharu itu akan dapat memendekkan purata waktu menunggu penumpang hingga sepuluh minit.
Empat laluan tersebut ialah laluan T650B yang meliputi Taman Desa-Jalan Klang Lama, T850B (LRT Bangsar-Taman Bandaraya), T512B (MRT Putrajaya Sentral-Presint 11) dan T250B (Taman Genting Setapak-Setapak).
Laluan LRT Bangsar-Taman Bandaraya dan MRT Putrajaya Sentral-Presint 11 akan terhubung langsung dengan perkhidmatan rel Rapid KL.
Kesalinghubungan itu penting bagi membolehkan pengguna Rapid KL menyambung perjalanan mereka dengan rangkaian rel dan bas.
Perkhidmatan bagi laluan Taman Desa-Jalan Klang Lama dan Taman Genting Setapak-Setapak pula menggunakan lorong bas di Jalan Klang Lama serta Jalan Genting Kelang.
Ini membolehkan penumpang meneruskan perjalanan dengan bas Rapid KL dan sebaliknya.