fb fb fb fb fb

Majikan disaran buka peluang pekerjaan kepada banduan - Sivakumar

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 6 April - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyarankan lebih ramai majikan membuka peluang menggaji banduan iaitu orang di bawah parol (ODP) atau orang diselia (ODS) dan bekas banduan terlebih dahulu, berbanding menggaji pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata langkah itu juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bersasar kepada golongan mudah terjejas seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2023.

(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar)

"Kita terlalu bergantung kepada pekerja asing pada masa ini sedangkan kita memang mempunyai ramai tenaga kerja di negara kita yang masih boleh digunakan.

"Tahun ini, kita menyasarkan seramai 15,000 banduan akan mendapat pekerjaan menerusi kerjasama strategik yang dilakukan antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara PERKESO dan JPM, di sini.

Nota Kolaborasi yang dimeterai itu adalah hasil kerjasama antara PERKESO dan JPM sejak 2021, bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran serta perlindungan sosial kepada banduan dan bekas banduan.

Sivakumar berkata, sejak kolaborasi itu diadakan sehingga Mac ini, seramai 588 banduan termasuk pelatih Sekolah Henry Gurney dan bekas banduan, berjaya mendapat tawaran dan penempatan pekerjaan.

Media Baharu