KUALA LUMPUR, 30 Mac-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.7 juta bagi menyantuni golongan Mualaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Naim Mokhtar berkata bantuan tersebut adalah hasil sebahagian daripada wang zakat yang berjaya dikumpul MAIWP melalui komitmen para pembayar zakat.
"Seluruh warga MAIWP sentiasa berusaha memastikan wang zakat yang disumbangkan kepada MAIWP, disalurkan kepada mereka yang berhak. Pada masa sama juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih khusus kepada pembayar-pembayar zakat, sebab kalau pembayar-pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana memberikan sumbangan yang membolehkan MAIWP dapat mengagihkan sumbangan ini kepada golongan asnaf saudara baru kita", katanya pada majlis berbuka puasa 'Rahmah Ramadan MAIWP' bagi meraikan saudara baru di Dewan Semarak Kayangan Felda, Kuala Lumpur. semalam.
Pada majlis tersebut, Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan (PERKIM) menerima cek replika sebanyak RM800,000 dan juga Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) turut menerima sebanyak RM200,000.
Antara NGO lain yang turut menerima cek replika ialah Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia (GEPIMA) sebanyak RM200,000 dan juga Hidayah Centre Foundation yang menerima sebanyak RM350,000.
Datuk Naim juga memaklumkan bahawa MAIWP telah meletakkan sasaran baharu bagi kutipan wang zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun ini.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Naim Mokhtar)