fb fb fb fb fb

MAIWP Labuan santuni 100 asnaf sumbang kelengkapan raya

Seramai 100 asnaf daripada 17 keluarga menerima bantuan kelengkapan pakaian raya semalam/Foto MAIWP Labuan

LABUAN, 19 Mac – Seramai 100 asnaf daripada 17 keluarga menerima bantuan kelengkapan pakaian raya menerusi program Rahmah MADANI Ramadan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.

Pengurus MAIWP Labuan, Md. Fadzli Md. Saad berkata, bantuan itu diharap memberi sedikit keceriaan kepada golongan asnaf dalam menyambut Syawal.

“Kami berharap ia dapat memberi kegembiraan kepada mereka, lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada para pembayar zakat yang telah membantu menceriakan asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya ketika ditemui dalam Program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP semalam.

MAIWP Labuan memperuntukkan sebanyak RM30,000 bagi memastikan golongan asnaf dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria.

Setiap penerima menerima bantuan bernilai RM300 bagi membeli pakaian dan kelengkapan hari raya yang diingini.

Salah seorang penerima, Shazura Saif, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.

“Terima kasih kepada MAIWP dan pembayar zakat kerana memberikan kebahagiaan kepada kami tahun ini. Tahun lalu kami tidak dapat berbaju raya, tetapi tahun ini alhamdulillah dapat membeli baju raya untuk lapan orang dalam keluarga,” katanya.

Turut hadir menyantuni keluarga asnaf ialah Timbalan Pengurus Operasi MAIWP Labuan, Ustaz Mohd Radzaleih Matusin dan Timbalan Pengurus Pengurusan MAIWP Labuan, Mohamad Ruzaimi Ibrahim.

GRACE AISYAH KEDAYAN