KUALA LUMPUR, 19 Mac – Seramai 6,287 peserta telah diluluskan menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang merangkumi tiga kategori utama, iaitu Inisiatif Usahawatan Tani (INTAN), Insiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Basmi Miskin Tegar (BMT).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, program tersebut berjaya membantu ramai peserta meningkatkan pendapatan mereka.
"Bagi IPR-INTAN, seramai 517 daripada 3,628 peserta telah memperoleh hasil jualan pusingan pertama, dengan julat pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM6,000.
|Dengan elaun pra-penuaian RM500 yang diberikan, kebanyakan peserta telah berjaya mencapai pendapatan melebihi RM1,700," jelasnya ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, di bawah IPR-INSAN, seramai 374 peserta program rintis telah mendapat manfaat dengan purata jualan harian antara RM90 hingga RM400.
"Daripada jumlah tersebut, 119 peserta berjaya meraih pendapatan melebihi RM1,700 berdasarkan rekod jualan Disember 2024 dan Januari 2025," tambahnya.
Bagi IPR-BMT pula, sebanyak 2,285 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh negara telah diluluskan untuk projek peningkatan pendapatan.
"Seramai 411 peserta telah berjaya melepasi paras garis kemiskinan tegar RM1,198, termasuk 376 peserta yang mencapai pendapatan bulanan minimum RM1,700," katanya.