fb fb fb fb fb

734 naskah al-Quran dan 19,682 bahan al-Quran tanpa perakuan disita

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto Hiasan

BANDAR BAHARU, 19 Mac – Sebanyak 734 naskah al-Quran dan 19,682 bahan al-Quran yang tidak mempunyai perakuan sah telah disita dalam tempoh 7 hingga 12 Mac lalu, dengan anggaran nilai berjumlah RM502,737.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sitaan itu dibuat menerusi Op Mulia yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Hasil operasi ini, sebanyak 88 kertas siasatan telah dibuka. Naskah dan bahan al-Quran yang disita akan dilupuskan dengan menjadikannya abu sebelum dilepaskan ke laut. Tahun lalu, proses ini telah dilakukan sebanyak enam kali," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni sempena sambutan Nuzul Al-Quran dan Ihya Ramadan di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, di sini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh operasi tersebut, pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas syarikat percetakan, premis, dan individu dan sehingga 12 Mac, sebanyak 794 premis telah diperiksa.

Pada tahun lalu, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN telah menjalankan operasi serupa ke atas 822 premis, menyita 8,212 naskah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta, serta membuka 160 kertas siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN