KUANTAN, 19 Mac – Seramai 1,456 peserta Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) Pahang akan menerima agihan bayaran dividen bagi tahun 2024, bermula hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kadar dividen unit ladang bagi tahun ini meningkat kepada RM5,000 bagi setiap unit, berbanding RM4,500 pada tahun lalu.
Menurut beliau, jumlah agihan dividen keseluruhan yang dibayar oleh koperasi itu mencecah RM63.19 juta, sekali gus menjadi yang tertinggi dalam tempoh 57 tahun.
“Kenaikan kadar dividen ini didorong oleh harga sawit yang baik serta pengurusan cekap ke atas 12,638 unit ladang oleh Kosma. Sepanjang tahun ini, Kosma mencatat hasil sebanyak RM224.88 juta, dengan keuntungan bersih RM134.17 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman dividen Kosma di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini.
Wan Rosdy turut memaklumkan bayaran interim akan dibuat bermula hari ini bagi membantu anggota koperasi membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini.
Sementara itu, baki bayaran dividen akan disalurkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Kosma ke-40 pada 21 Jun nanti.