fb fb fb fb fb

Jangan bina kediaman atas tanah wakaf kubur- Maidam

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

KUALA TERENGGANU, 12 April- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam)Terengganu akan mengambil tindakan termasuk menghalang pembinaan bangunan di atas tanah kubur yang diwakafkan.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Ismail berkata sebarang bentuk pembangunan, terutama pembinaan kediaman, tidak boleh dilakukan di atas tanah di wakaf untuk tanah perkuburan.

Menurutnya, Maidam pernah mengalihkan kubur ke lokasi lain selepas mendapati tanah yang dikatakan diwakafkan tidak berdaftar di bawah enakmen wakaf perkuburan.

"Kita akui, ada dalam kalangan masyarakat terdahulu mewakafkan tanah miliknya sebagai tanah perkuburan, tetapi siasatan mendapati, tanah diwakafkan itu dibuat secara lisan tanpa diketahui ahli keluarga lain," katanya.

"Setakat ini, kita mempunyai puluhan ribu lot tanah yang diwakafkan secara sah dan mengikut enakmen tanah wakaf untuk dijadikan tanah perkuburan.

"Tanah yang sudah diwakafkan di bawah enakmen itu tidak boleh dan ditegah daripada dibangunkan dengan projek bangunan termasuk kediaman walaupun oleh ahli keluarga pewakaf," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap pada Majlis Apresiasi Pewakaf dan majlis berbuka puasa bersama pewakaf di Kuala Terengganu, semalam.


(Yang Dipertua Maidam Terengganu, Datuk Shaikh Harun Ismail)

Tambah Shaikh Harun, terdapat 949 orang pewakaf di seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, katanya, 234 orang bersetuju mewakafkan secara tunai melalui potongan gaji bulanan dengan jumlah transaksi terkumpul berjumlah RM603,000.

Dalam perkembangan lain, Shaikh Harun memaklumkan bantuan bencana Maidam untuk 3,000 penduduk terjejas banjir akan diagihkan mulai Sabtu ini.

Setiap keluarga terlibat bakal menerima bantuan bencana berjumlah RM500 seorang.

"Mangsa banjir yang mengalami kerosakan kediaman boleh membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan membaikpulih kerosakan.

"Maidam turut bersetuju membiayai kos sewa kediaman kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal," katanya.




Media Baharu