(Tugu Peringakata Double six)
PUTRAJAYA, 12 April- Laporan Siasatan Akhir Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air Nomad N-228 9M-ATZ yang berlaku pada 6 Jun 1976 sudah boleh dimuat turun dari laman web Kementerian Pengangkutan bermula hari ini.
Menteri berkenaan Anthony Loke berkata beliau telah mengelaskan semula laporan siasatan akhir tersebut sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Untuk makluman, laporan siasatan akhir kemalangan udara Nomad N22B 9M-ATZ disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Mac 1977.
“Namun begitu, hasil siasatan laporan tersebut tidak pernah diumumkan.
“Oleh demikian, selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa yang terlibat tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Sebelas nyawa terkorban dalam tragedi "Double-Six", termasuk barisan pimpinan kanan kerajaan negeri Sabah ketika itu.
Ini termasuk Ketua Menteri Sabah. Tun Fuad Stephens, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Peter Joinod Mojuntin, Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah Datuk Chong Thien Vun, Menteri Kewangan Sabah Datuk Salleh Sulong, Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Darius Binion dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Datuk Wahid Peter Andau.
(Laporan siasatan akhir nahas Sabah Air boleh diakses/Foto Arkib)