fb fb fb fb fb

Aktiviti kuari, kerja tanah di Nilai mungkin punca pencemaran udara- Aminuddin Harun

(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

SEREMBAN, 12 April- Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Daerah Seremban telah diminta untuk menyiasat aktiviti kuari dan kerja-kerja tanah di kawasan perindustrian baharu sekitar Nilai berikutan pencemaran udara di sekitar ibu negeri hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, operasi telah dijalankan dan beliau telah menerima maklum balas berkenaan perkara tersebut yang memang terdapat kawasan berhabuk dan kering.

Justeru, pihak berkaitan diminta untuk memberi perhatian terhadap perkara tersebut supaya ia tidak menyumbang kepada peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta menyebabkan penduduk di kawasan sekitar berasa tidak selesa dan boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka. 

"Ia mungkin berpunca daripada aktiviti kuari berhampiran dan kerja-kerja tanah di kawasan perindustrian baharu di Nilai. Sebenarnya arahan sudah diberikan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk pantau, operasi dibuat kira-kira dua minggu lalu dan keadaan didapati terkawal.

"Bagaimanapun pencemaran udara dilihat ada semula hari ini, jadi tindakan segera akan diambil, khususnya babit aktiviti kuari dan kerja tanah di kawasan terbabit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Seremban hari ini.

Seremban mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini, iaitu 127 setakat jam 12 tengah tadi.

Ia berdasarkan bacaan dipaparkan di laman web http://apims.doe.gov.my, daerah ini mula mencatatkan IPU tidak sihat sejak jam 6 pagi tadi.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut memaklumkan keadaan air di tujuh empangan di Negeri Sembilan ketika ini masih stabil dan mampu membekalkan air kepada penduduk seperti biasa.

"Memang ketika ini cuaca panas dan kering kerana tiada hujan, boleh beri kesan kepada empangan, namun setakat ini masih terkawal dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan terus memantau," katanya.

Media Baharu