fb fb fb fb fb

MAFI laksana kaedah baharu elak kelewatan pembekalan benih padi oleh NAFAS berulang

KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melaksanakan beberapa kaedah terbaharu bagi menjamin tiada lagi kelewatan dalam membekalkan benih padi sah kepada petani oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata antara langkah itu ialah melantik 13 pemborong benih padi sah dan 12 syarikat pengeluar melalui pengeluaran lesen borong oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB).

“Lesen dan permit peruncit pula diberikan kepada ejen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan dan bernaung di bawah pengeluar/pemborong sedia ada untuk mengedarkan benih padi sah.

“MAFI juga telah memperkenalkan kaedah baharu dalam menambah baik sistem pengedaran benih padi sah sedia ada dengan hanya 30% dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), manakala baki 70% dilaksanakan melalui pemborong lain yang dilantik di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Katanya lagi, sejak sistem baharu itu dilaksanakan, rantaian pengedaran benih padi sah adalah lebih teratur dan sistematik sekali gus dapat menangani isu kelewatan.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai rasional serta jaminan kementerian bahawa penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi lainnya tidak akan mengganggu-gugat golongan penternak, pemborong, dan pengangkutan sedia ada setelah NAFAS lewat dalam menurunkan subsidi benih padi kepada petani pada musim1/2021 lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Sejak Januari 2021, NAFAS telah dilantik sebagai pengeluar dan pembekal tunggal untuk benih padi sah.

Hak pengedaran telah diberikan kepada NAFAS secara tunggal sehingga 30 Jun 2021 bagi memberi ruang kepada MAFI untuk meneliti dan melaksanakan proses penambahbaikan kepada sistem sedia ada.

Media Baharu