JOHOR BAHRU, 31 Mei – Program Madani Rakyat yang berlangsung di Bandar Seri Alam, Johor Bahru memberi penekanan kepada kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi risiko bencana.
Fokus tersebut dibuat susulan kawasan itu dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi melibatkan pencemaran sungai, banjir kilat dan kebakaran industri.
Program dianjurkan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), bagi memperkukuh keupayaan masyarakat setempat menangani bencana secara lebih sistematik.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, program itu menghimpunkan pelbagai agensi pengurusan bencana untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada penduduk.
"Peranan komuniti itu penting. Bukan sahaja agensi kerajaan, komuniti juga ada peranan masing-masing dalam bersedia menghadapi bencana yang kita tidak pasti bila akan berlaku.
Bila berlakunya bencana, sekolah menjadi antara lokasi penempatan mangsa. Sekolah juga sentiasa bersedia dan kita dah lihat banyak kali kejadian seumpama ini berlaku. Setakat ini, hasil kerjasama pejabat daerah dan kerajaan negeri, semua mangsa dapat diuruskan dengan baik," katanya.
Program tersebut turut menekankan peranan komuniti sebagai barisan hadapan dalam pengurangan risiko bencana, selaras dengan pendekatan membentuk masyarakat yang lebih peka dan bersedia.
Aznan berkata demikian selepas menyempurnakan Program Madani Rakyat di Pasir Gudang yang turut dihadiri Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop.
Berdasarkan data Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, sebanyak 44 daripada 745 kawasan berisiko banjir di negeri itu terletak di daerah Johor Bahru, setakat Oktober tahun lalu.