CYBERJAYA, 31 Mei - Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited terhadap usaha merealisasikan "Malaysia Bebas Rokok" pada 2040.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata usaha berkenaan mampu dicapai menerusi kesepakatan bersama dan ketegasan dalam melaksanakan dasar yang berpaksikan kepentingan awam.
“KKM teguh dengan matlamat untuk mencapai 'Malaysia Bebas Rokok’ menjelang 2024… 15 tahun dari sekarang, mampukah kita mencapainya? Ia satu visi yang berani,” katanya berucap pada perasmian Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan 2025 sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di sini.
Beliau menegaskan, masyarakat pada masa ini bukan sahaja berdepan dengan produk berbahaya, tetapi juga sebuah industri bernilai berbilion dolar yang telah mengubah ketagihan melalui penggunaan peranti, perisa manis, pemasaran yang menarik yang secara khusus menyasarkan golongan belia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) katanya baru-baru ini secara rasmi menerima pakai Resolusi Kesihatan Paru-Paru Malaysia semasa Persidangan Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva, Switzerland.
Beliau menyifatkan ia langkah bersejarah yang menandakan resolusi global pertama menumpukan kesihatan paru-paru sebagai fokus utama dalam agenda kesihatan awam dunia.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober 2024, katanya mengehadkan pemasaran dan penjualan produk tembakau dan vape, khususnya kepada golongan belia.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Datuk Ser Dr Dzulkefly berkata prevalens merokok dalam kalangan dewasa menurun daripada 22.4 peratus pada 2019 kepada 19.8 peratus pada 2023.
“Namun, apabila kita berjaya membasmi satu wabak, satu lagi muncul menggantikannya. Penggunaan vape malangnya meningkat daripada 4.9 peratus kepada 5.1 peratus, terutama dalam kalangan remaja.
"NHMS 2022 mendedahkan sesuatu yang lebih membimbangkan, 60,000 remaja terjebak penyalahgunaan dadah manakala lebih 100,000 telah mencuba mengambil bahan terlarang seperti ketum dan methamphetamine,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan dan intervensi menyeluruh, KKM melancarkan beberapa inisiatif strategik termasuk program KOTAK (Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok) dan latihan kaunselor sekolah untuk mempertingkat pencegahan dalam kalangan belia.
Inisiatif lain termasuk menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), rakan korporat seperti Maybank, KENVUE, Johnson & Johnson dan AstraZeneca, serta kolaborasi dengan Pusat Racun Negara melalui program Siri Bebas Rokok.