fb fb fb fb fb

Konvoi Jelajah Baton Perlis semarak sambutan Hari Belia Negara 2025

Foto-RTM

KANGAR, 31 Mei - Konvoi Jelajah Baton Peringkat Negeri Perlis menjelajah lima lokasi utama sebagai simbolik semangat dan sokongan anak muda bersempena Sambutan Hari Belia Negara 2025.

Konvoi yang diketuai Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Mohd Jeffry Hassan, itu merupakan sebahagian daripada kempen promosi Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Jun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sebanyak lapan kenderaan dengan penyertaan 23 peserta menyertai konvoi tersebut, meliputi perjalanan sejauh lebih 90 kilometer di sekitar Perlis.

Lima lokasi persinggahan termasuk Pusat Kegiatan KEMAS Alor Tampang, Nat Balai Baru, Kompleks SUK, Perpustakaan Awam Negeri dan C-Mart Arau.

Penyerahan baton antara Majlis Belia Negeri-Negeri Zon Utara turut menjadi simbolik penyatuan dan perjuangan golongan belia dalam memperkasakan peranan serta tanggungjawab organisasi di semua peringkat.

Konvoi tersebut dilepaskan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dr Noriman Rojulai.

Baton seterusnya diserahkan kepada Majlis Belia Negeri Kedah di Menara Alor Setar sebelum diteruskan ke Pulau Pinang melalui Jambatan Merdeka, Tikam Batu, sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Musa Salim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mohd Azraai Zain Tusimin.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN