KUALA LUMPUR, 31 Mei - Dua pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva, bakal membawa cabaran negara dalam kelas GT300 menerusi penyertaan tiket wildcard pada SUPER GT Malaysia Festival 2025, yang akan berlangsung pada hujung Jun ini.
Jazeman yang merupakan bekas pemenang podium di peringkat antarabangsa, akan bergandingan dengan pelumba Amerika-China, Kerong Li, dalam jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO kendalian pasukan EBM.
Bagi pelumba berusia 32 tahun itu, peluang beraksi di tanah air buat kali pertama dalam kejuaraan berprestij itu merupakan detik istimewa selepas
tertangguh pada tahun 2020 akibat pandemik.
"Insya-Allah kalau ada rezeki saya impikan menaiki podium tetapi satu demi satu. Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan ambil peluang tersebut," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu pada majlis pelancaran SUPER GT Malaysia Festival 2025 di Ibu negara.
Sementara itu, Adrian D’Silva turut dipertaruhkan dalam jentera kedua pasukan EBM, bersama bekas juara Le Mans, Earl Bamber.
Kedua-dua mereka dijangka menjadi tumpuan peminat tempatan apabila aksi GT300 berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 26 hingga 28 Jun ini.
Penyertaan wildcard ini bukan sahaja simbol komitmen penganjur terhadap pembangunan sukan permotoran negara, malah memberi peluang kepada pelumba tempatan menonjolkan keupayaan di pentas antarabangsa.
SUPER GT Malaysia Festival 2025 turut menampilkan pelbagai acara sampingan termasuk konsert, pameran automotif dan perlumbaan sokongan seperti GR86 Cup dan Vios Challenge Musim 8.