fb fb fb fb fb

Seleweng dana bina lebuh raya, SPRM sita RM85.6 juta

Tan Sri Azam berkata dana berkenaan dipercayai turut digunakan bagi menampung perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Susulan siasatan penyelewengan dana sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dikaitkan dengan seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita dan membekukan aset serta akaun bank dianggarkan bernilai RM85.6 juta.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata antara aset yang disita, termasuk 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta dan lapan akaun syarikat bernilai RM33 juta.

Turut disita kenderaan bernilai RM7.65 juta, beg tangan bernilai RM3 juta, barang kemas (RM6 juta) serta jam tangan mewah dianggarkan RM7 juta dan hartanah bernilai RM24.5 juta.

Kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

“Kita mengesyaki Dana Sukuk berjumlah ratusan juta ringgit itu disalurkan kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri terbabit sebelum disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak digunakan bagi tujuan pembiayaan projek lebuh raya berkaitan.

“Dana berkenaan seterusnya dipindahkan ke beberapa entiti lain, termasuk syarikat proksi dan akaun isteri Tan Sri terbabit yang disyaki digunakan untuk pembelian aset seperti hartanah, kenderaan mewah, barang kemas, dan beg tangan termasuk aktiviti perjudian,” katanya.

Menurut Tan Sri Azam, dana berkenaan dipercayai turut digunakan bagi menampung perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan melalui pelbagai transaksi kewangan berlapis bagi mengaburi sumber asal dana.

Setakat ini pihaknya belum merakam keterangan daripada Tan Sri terbabit berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Bagaimanapun, siasatan masih berjalan dengan penyitaan aset terbabit dan kita akan meneliti perolehan harta berkenaan, termasuk mendapatkan dokumen kewangan daripada bank termasuk beliau sendiri bagi tujuan analisis dalam membantu siasatan,” tambahnya.

Setakat ini 45 orang sudah dipanggil dan dirakam percakapan.

30 hingga 50 saksi lagi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Kita tidak menolak kemungkinan ahli keluarga (Tan Sri) turut sama dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan,” katanya.-BERNAMA

JALALUDDIN BIN BAHARIN