fb fb fb fb fb

Luruan angin timuran dijangka hingga 9 Februari, berpotensi bawa hujan berterusan - MetMalaysia


PETALING JAYA, 4 Februari - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan luruan angin timuran dari barat Pasifik memasuki rantau negara hingga 9 Februari ini.

Ia berdasarkan analisa model MET Malaysia 'Weather Research and Forecasting Model' (MET-WRF), 'European Centre for Medium-Range Weather Forecasts' (ECMWF) dan 'Global Forecast System' (GFS).

MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di timur Sabah serta tengah dan barat Sarawak dalam tempoh 5 hingga 7 Februari 2022.

Manakala di negeri-negeri pantai timur Semenanjung pada 6 hingga 9 Februari 2022.

"Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan untuk Sabah berkuat kuasa 5 hingga 6 Februari 2022, manakala Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (Kategori Kedua) juga dikeluarkan bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa hingga 8 Februari 2022.

"Pada masa yang sama cuaca lembap dengan hujan dan ribut petir juga dijangka di negeri-negeri pantai barat Semenanjung pada sebelah petang hingga awal malam," menurut hantaran itu.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Media Baharu