AYER KEROH, 30 November - Kegagalan struktur pembetung punca kejadian lubang benam di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) Melaka yang berlaku malam tadi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tindakan mitigasi segera telah dilaksana oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk keselamatan pengguna lebuhraya.
Manakala untuk pembaikan kekal dijangka mengambil masa dua bulan dengan anggaran kos kira-kira RM2.5 juta.
Antara langkah yang diambil termasuklah mengenal pasti kawasan struktur pembetung terlibat, kerja penimbusan dan pemadatan tanah serta pembaikan struktur jalan.
"Ini laporan awal dan hasil perbincangan tadi, kita bersetuju untuk meneliti keseluruhan kawasan dari hujung ke hujung mengikut lebar jalan ini. Kita tidak mahu hanya membaiki bahagian ini tetapi bahagian lain pula bermasalah. Oleh itu, pemeriksaan akan dilakukan sepanjang 'culvert' yang melintasi jalan ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau lokasi lubang benam terbabit di Lebuh SPA di sini.
Lubang benam berkenaan dilapor berlaku sekitar pukul 11 malam tadi berukuran kira-kira 10 meter panjang dan 5 meter lebar.
Pengguna lebuh raya itu dinasihatkan mematuhi arahan keselamatan dan papan tanda yang disediakan di lokasi.
