BATU BERENDAM, 12 September - Selepas tiga tahun menghentikan operasi akibat pandemik COVID-19, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam kembali beroperasi apabila menerima penerbangan sulungnya hari ini.
Penerbangan pertama Batik Air menggunakan pesawat ATR-72 selamat mendarat di LTAM pada pukul 11.29 pagi dengan membawa 38 penumpang dari Pulau Pinang.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata kejayaan itu hasil perbincangan dengan pelbagai pihak di peringkat pusat dan antarabangsa bagi memastikan LTAM dapat beroperasi semula selepas pintu sempadan negara dibuka semula pada 1 April lalu.
“Penerbangan domestik dan antarabangsa dari Pulau Pinang dan ke Pekanbaru, Indonesia melalui syarikat penerbangan Batik Air ini adalah yang pertama setelah hampir tiga tahun LTAM tidak beroperasi.
“Selepas ini, orang ramai khususnya rakyat di Johor dan Negeri Sembilan boleh menggunakan perkhidmatan Batik Air setiap hari untuk ke Pulau Pinang pada harga serendah RM129 sehala atau IDR695,999 ke Pekanbaru, Indonesia,” katanya pada sidang media selepas meraikan Penerbangan Pertama Pesawat Batik Air ke LTAM, di sini.
Tambah Muhammad, penerbangan dari Melaka ke Pulau Pinang dan Pekanbaru dijadual beroperasi setiap hari.