fb fb fb fb fb

LSS sambut baik BUDI95 diperluas ke sektor pengangkutan air di Sarawak

Pengerusi LSS Dr. Safiee Ahmad

KUCHING, 6 Oktober - Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menyambut baik perluasan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada sektor pengangkutan air di negeri itu.

Pengerusi LSS Dr. Safiee Ahmad berkata, berdasarkan rekod LSS sebanyak 205 buah bot penumpang samada pemilikan syarikat ataupun individu berdaftar dengan Lembaga Sungai Sungai Sarawak.

"Jadi setakat 29 September 2025, LSS telah mengemukakan senarai keseluruhan bot penumpang yang berdaftar dengan Lembaga Sungai Sungai Sarawak ke Kementerian Kewangan Malaysia Sarawak, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak untuk semakan dan kelulusan bawah program BUDI95," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memperluas BUDI95 kepada sektor pengangkutan sungai di Sarawak dan menyifatkan ia memang tepat pada masanya.

Ia susulan masih terdapat ramai rakyat Sarawak bergantung kepada pengangkutan air ataupun sungai untuk aktiviti seharian dan menikmati perkhidmatan perkhidmatan utama kerajaan.

"Langkah ini juga selari dengan dasar keterangkuman kerajaan dalam melaksanakan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Bagi pendaftaran bot persendirian, Kementerian Kewangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama agensi-agensi di peringkat negeri kini sedang melaksanakan proses pendaftaran sepanjang bulan Oktober ini.

"Insya-Allah, kita berharap proses ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat agar mereka yang dikategorikan sebagai pemilik bot persendirian turut dapat menikmati manfaat bawah inisiatif BUDI95," katanya lagi.

Bawah LSS, bot yang berdaftar di sarawak adalah merujuk kepada bot penumpang sama ada pemilikan syarikat ataupun individu yang berdaftar dengan agensi itu untuk tujuan memberi perkhidmatan pengangkutan air ke atas tambang yang dibayar oleh penumpang ataupun pengguna.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI