KUALA LUMPUR, 4 Disember - Kerajaan terus memperkukuh pengangkutan awam di Johor Bahru menerusi peluasan liputan dan peningkatan laluan di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST), bagi memastikan rakyat menikmati perkhidmatan bas lebih cekap dan menyeluruh.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kontrak baharu perkhidmatan SBST Johor Bahru (bus.my) disambung mulai 31 Mac 2025 hingga 30 Mac 2027, dengan penambahbaikan berasaskan keperluan pengguna serta data operasi semasa.
Peluasan liputan SBST Johor Bahru yang dilaksanakan bermula 30 September lalu juga meningkatkan laluan daripada 18 kepada 21 laluan.
Selain itu bilangan bas juga ditambah kepada 162 unit, berbanding 128 sebelum ini. Langkah merupakan persediaan awal menjelang operasi RTS Link Johor Bahru–Woodlands pada 2027.
"Bagi memastikan perkhidmatan SPST Johor Bahru terus menjadi mod pengangkutan awam pilihan rakyat, rangkaian SBST Johor Bahru senantiasa ditambah baik.
"Berdasarkan maklum balas untuk permintaan pengguna serta data operasi dan penumpang yang direkodkan, penambahbaikan akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan melibatkan aspek kekerapan, jumlah trip, jarak dan liputan laluan," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkenaan purata penumpang bulanan perkhidmatan bas SBST Johor Bahru bagi tahun 2022, 2023, 2024, 2025 serta sama ada perkhidmatan ini wajar
diperluas atau dikurangkan berdasarkan perubahan jumlah penumpang.
Sejak SBST diperkenalkan pada 31 Mac 2022, purata trip penumpang bulanan terus meningkat ketara daripada 335,347 pada 2022, kepada 940,785 setakat Ogos 2025, membuktikan penerimaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut.
Kerajaan menegaskan penambahbaikan akan diteruskan bagi memastikan SBST kekal sebagai mod pengangkutan utama rakyat, seiring pembangunan pesat di Johor Selatan.
