KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kadar liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di seluruh negara mencapai 98.82 peratus setakat 31 Julai lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi liputan 5G, Digital Nasional Berhad (DNB) telah menyiapkan 7,489 tapak pemancar yang menyediakan 82.4 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.
Jelas beliau, jumlah langganan melebihi 28 juta pengguna dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih 5G bagi setiap 100 penduduk adalah 82.7 peratus.
“Bagi perkembangan rangkaian 5G kedua, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan beberapa Mesyuarat Kemajuan Pelaksanaan 5G bersama U Mobile.
Rangkaian 5G kedua oleh U Mobile beroperasi pada 14 Julai lalu dan 1,232 tapak telah dinaik taraf kepada liputan 5G,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (BN–Tanjong Karang) yang ingin mengetahui perkembangan dan data terbaharu berkenaan kemajuan projek 5G serta strategi kerajaan dalam memperluas liputan ke kawasan luar bandar termasuk dalam kawasan parlimen tersebut.
Menurut Datuk Fahmi, bagi Tanjong Karang, kadar liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk adalah 99.75 peratus, manakala di Parlimen Sungai Besar mencecah 99.99 peratus.
Sebanyak 19 tapak pemancar 5G di Parlimen Tanjong Karang kini beroperasi, memberikan liputan 5G di kawasan berpenduduk sebanyak 85 peratus.
“Peluasan liputan 5G ke kawasan luar bandar termasuk Parlimen Tanjong Karang akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan dan kesediaan infrastruktur,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai langkah melindungi data rakyat dan kedaulatan digital negara, Datuk Fahmi berkata, MCMC telah melaksanakan Kempen Internet Selamat untuk meningkatkan kesedaran rakyat termasuk pelajar sekolah berhubung kemudaratan dalam talian.
“Hari ini, masalah buli siber telah ditakrifkan sebagai jenayah.
Kita mahu pastikan ancaman seperti penipuan dalam talian, spam, buli siber dan pelbagai kemudaratan lain dapat diuruskan dengan lebih baik melalui pindaan undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya.