ALOR SETAR, 9 Mei -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan di Langkawi, sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) dari 20 hingga 24 Mei ini.
Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata fokus penguatkuasaan merangkumi pematuhan penandaan harga barang dan perkhidmatan, aktiviti pencatutan, keberadaan bekalan barang kawalan, penggunaan alat timbang dan sukat, serta isu berkaitan pensijilan halal.
"Antara lokasi tumpuan termasuk restoran dan kedai makan, pasar raya, kedai runcit, pasar awam, pasar basah, pasar pagi dan pasar malam,” katanya dalam kenyataan .
Penguatkuasaan turut menyasarkan perkhidmatan sewa kenderaan, hotel dan rumah penginapan, stesen minyak serta lokasi tumpuan orang ramai dan pelancong.
Seramai 190 anggota penguat kuasa akan menjalankan pemeriksaan ke atas premis di seluruh negeri.
Ops Menu 2025 turut dilaksana bagi memantau pematuhan penandaan harga di premis makanan dan restoran.
“Ops Kesan 2025 pula membabitkan pemeriksaan terhadap pematuhan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, khususnya Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018,” katanya.
Ops Indah 2025 turut digerakkan bagi memantau penandaan harga di kawasan pelancongan dan memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya KPDN memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya dan akan menggempur premis yang didapati menjalankan perniagaan secara tidak beretika.