fb fb fb fb fb

Lima nama doktor pembuli diserahkan kepada KKM

GEORGE TOWN, 11 Mei - Nama lima doktor di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang didakwa sebagai pembuli telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Senarai nama itu dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin.

Beliau menghantar nama lima doktor itu untuk diperiksa oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dr Norlela bagaimanapun menjelaskan, lima doktor itu tidak mempunyai kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP baharu-baharu ini.


(Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin)

Kes tersebut masih dalam siasatan.

Pada 17 April lepas, doktor pelatih berusia 25 tahun itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran, di Jalan Datuk Keramat di sini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.

Pada 6 Mei lepas, Khairy turut dilaporkan berkata KKM akan menubuhkan ‘task force’ bebas atau pasukan petugas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih itu

Media Baharu