fb fb fb fb fb

Lima daripada 55 kawasan pendakian di Perak dikategorikan berisiko

IPOH, 26 Disember - Pembukaan semula 13 Taman Eko Rimba (TER) dan Trek Pendakian bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) bergantung kepada keadaan cuaca.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Perhutanan Negeri, Azni Rahman A.Wahid berkata setakat ini kawasan tersebut ditutup sejak 1 November lalu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Ketika ini terdapat 55 kawasan pendakian di Perak dengan lima daripadanya pada ketinggian melebihi 2,000 meter dikategorikan sebagai berisiko.

Lima laluan tersebut adalah Gunung Korbu, Gayong, Yong Belar, Yong Yap dan Ulu Sepat.

"Untuk kawasan eko rimba mempunyai sungai yang menjadi satu tarikan tumpuan kepada pengunjung pun adalah salah satu yang bahaya sebab itu kita buat penutupan kesemua taman eko rimba dan hutan lipur di negeri Perak.

Bergantung kepada keadaan semasa kita sentiasa ikut ramalan keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh kerajaan yang mana agensi terlibat supaya kita dapat ambil langkah awal elak tragedi yang tidak diingini," kata Azni Rahman kepada RTM selepas meninjau TER Kledang Saiong di Meru, di sini.

(FOTO RTM)

Mana-mana individu yang didapati melanggar arahan ditetapkan boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 atau Enakmen Perhutanan Negeri Perak.

Selain langkah penutupan, sistem amaran awal kepala air (EWS) turut dipasang di dua Taman Eko Rimba Negeri, masing-masing di Kledang Saiong dan Lata Iskandar, Tapah.

Manakala empat lagi TER akan dipasang sistem EWS secara berperingkat menggantikan sistem siren sedia ada yang kini berfungsi secara manual.

Media Baharu