ALOR SETAR, 30 Oktober- Tahap kesedaran orang ramai termasuk peniaga dan pemilik-pemilik syarikat di Kedah berkaitan kepentingan mengisytihar dan membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semakin meningkat.
Ia hasil daripada program-program dan kempen kesedaran yang diadakan.
Pengarah LHDN Negeri Kedah, Nor Azam Mohamad berkata selain program-program turun padang yang diadakan di lokasi tertentu, pihaknya turut menggunakan pempengaruh media sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membayar cukai.
Beliau yakin individu atau syarikat yang sebelum ini tidak pernah tampil atau tidak berani tampil mengisytihar cukai pendapatan masing-masing akan berbuat demikian dengan sukarela.
Langkah itu akan membantu meningkatkan pendapatan negara.
"Kita sasar khususnya kepada peniaga, syarikat, syarikat ini kebanyakan kita sudah boleh buat pemantauan, mungkin dari segi peniaga kecil sederhana, dan peniaga yang tidak berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) sebelum ini, juga kita akan cuba lihat dan kita akan buat pemantauan yang lebih ketat.
"Ketika ini, kita beri pendidikan terlebih dahulu daripada mengambil tindakan yang lebih agresif kepada pembayar cukai," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Hasil Peringkat Negeri Kedah di perkarangan Wisma Hasil Kedah di Alor Setar.
Katanya, e-Invois yang merupakan representasi dalam bentuk digital bagi transaksi yang dilaksanakan antara penjual dan pembeli yang diperkenalkan tahun ini juga akan memastikan tiada pihak yang akan terlepas daripada membayar cukai kepada negara sekiranya memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
e-Invois mengandungi maklumat penting yang sama seperti dokumen tradisional seperti butiran penjual dan pembeli, keterangan item, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai dan jumlah keseluruhan, yang merekodkan data transaksi untuk operasi perniagaan harian.