
SHAH ALAM, 29 Ogos – Kerajaan memberi jaminan akan terus mempertahankan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai institusi penting dalam pembangunan pendidikan, profesional dan sosioekonomi Bumiputera.
- Menjaga mandat dan identiti UiTM sambil memperkukuh, memperkasa dan memajukan peranan institusi dalam melahirkan profesional Bumiputera.
- Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Rasionalisasi UiTM (URCC) untuk meneliti hala tuju, akademik, penyelidikan, tadbir urus dan pembangunan bakat.
- Mengukuhkan jaringan industri, mengantarabangsakan UiTM dan mempersiapkan universiti menghadapi perubahan teknologi serta landskap ekonomi masa hadapan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mandat dan identiti yang menjadi asas penubuhan serta perkembangan UiTM akan terus dipelihara, selaras dengan peranan institusi itu dalam melahirkan golongan profesional Bumiputera.
“Mandat dan identiti yang menjadi asas penubuhan serta perkembangan UiTM akan terus dipelihara. Tetapi mempertahankan UiTM tidak bermakna kita sekadar mempertahankan apa yang telah ada.
“Mempertahankan UiTM bermakna kita mesti terus memperkukuh, memperkasa dan memajukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan pada Majlis Titah Diraja UiTM 2026 bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ di UiTM Shah Alam, pada Jumaat.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Menurutnya, usaha memperkukuh UiTM turut diterjemahkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Rasionalisasi UiTM (URCC) yang dipengerusikan Tan Sri Idris Jusoh.
Jawatankuasa itu diberi tanggungjawab meneliti secara menyeluruh hala tuju serta masa depan UiTM, termasuk aspek akademik, penyelidikan dan inovasi, tadbir urus serta pembangunan bakat.
Turut diberi perhatian ialah pengukuhan jaringan industri, pengantarabangsaan serta kesiapsiagaan UiTM dalam menghadapi perubahan teknologi dan landskap ekonomi masa hadapan.
Datuk Seri Dr Zambry berkata, UiTM perlu terus berkembang sebagai “Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional” dengan mandat yang teguh, kecemerlangan yang tinggi serta sumbangan yang lebih luas kepada negara dan dunia.
Beliau berkata, pencapaian tujuh dekad UiTM tidak seharusnya sekadar menjadi sejarah untuk diraikan, sebaliknya perlu diterjemahkan sebagai amanah dalam menentukan arah tuju institusi itu bagi tujuh dekad akan datang.
Sempena tujuh dekad penubuhannya, UiTM disifatkan bukan sahaja sebagai sebuah institusi pendidikan, malah wadah penting dalam memastikan kesinambungan akses pendidikan dan pembangunan bakat anak bangsa.
“Semoga UiTM terus gagah berdiri, terus tinggi menjulang, dan terus menabur bakti. Tujuh puluh tahun telah kita lalui. Tujuh puluh tahun lagi menanti.
“Dan di antara keduanya terbentang satu amanah: Untuk memastikan ilmu terus menjadi cahaya, pendidikan terus menjadi jalan, dan anak bangsa terus mempunyai masa hadapan,” katanya.