KLANG, 28 Januari- Polis mengesahkan tiada unsur kecuaian atau jenayah dikesan dalam kes letupan sebuah kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula di kawasan perindustrian Sungai Kapar Indah, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) S. Vijaya Rao berkata letupan tersebut berlaku disebabkan reaksi bahan kimia dan siasatan lanjut kini diteruskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Beliau memaklumkan pihaknya telah merekod keterangan pemilik premis, pekerja dan orang awam berhubung insiden itu.
Menurut Vijaya, sekurang-kurangnya 33 mangsa terlibat dalam insiden tersebut dengan kesemua mereka mengalami kecederaan ringan seperti pedih mata dan sesak nafas.
Semua mangsa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
"Tiada kecederaan serius, tiada kematian dan jumlah mangsa adalah lebih kurang 33 orang yang mendapat rawatan sebagai pesakit luar di HTAR," katanya selepas Walkabout Ketua Polis Daerah Klang Utara ke Pasar Pagi Taman Eng Ann, Bandar Baru Klang hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau menggalakkan orang ramai yang merancang pulang ke kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina untuk mengisi permohonan 'Volunteer Smartphone Patrol' (VSP) bagi mengelakkan kejadian jenayah.
Setakat ini, pihaknya telah menerima 15 permohonan VSP dan akan meningkatkan rondaan sepanjang musim perayaan.
BERITA BERKAITAN