SHAH ALAM, 20 Januari - Sebuah kilang kitar semula bahan kimia di Taman Perindustrian Kapar Indah, Klang, dilaporkan sebahagiannya musnah akibat letupan yang berlaku petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima laporan kejadian tersebut sekitar pukul 4.23 petang.
Menurut beliau, terdapat asap kuning yang menyebabkan kerengsaan mata di lokasi kejadian, dan pasukan Hazmat dari Balai Bomba Shah Alam telah segera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Komander operasi melaporkan pasukan Hazmat telah menjalankan ujian udara dan mendapati keadaan udara berada dalam tahap normal. Bahan yang terbakar dikenal pasti sebagai asid yang dikitar semula. Sebuah lori tangki juga musnah dalam kejadian letupan tersebut," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis turut memaklumkan bahawa pasukan Hazmat kini menunggu Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian letupan tersebut.
"Hasil siasatan awal mendapati letupan dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di perkarangan kilang tersebut. Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan pada bangunan kilang serta beberapa kilang berhampiran. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini," katanya menerusi kenyataan.