fb fb fb fb fb

Lesen terbang mungkin kegiatan sendiket penipuan dalam talian - JPJ


KOTA BHARU, 1 Februari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan kegiatan menjual 'lesen terbang' mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata ia dikesan selepas penyamaran dilakukan pihaknya bagi mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan itu.

Pembayaran turut dibuat kepada sindiket, namun akhirnya wang didapati lesap. Tegas Zailani, JPJ giat menyiasat bagi mengesan dan mengambil tindakan selanjutnya.

"Scammer semua ini, tidak ada satu situasi pun orang di negara kita boleh mendapat lesen melalui bayaran kepada pihak berkenaan. Saya ingin tegaskan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terlibat dengan benda tidak berintegriti ini," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Ops Penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini.

Operasi turut disertai Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Mengulas lanjut, Zailani berkata bagi memastikan tindakan lebih berkesan dapat dilakukan, JPJ turut berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, menyentuh mengenai Ops Tahun Baharu Cina 2022 sepanjang enam hari sejak 25 Januari lepas, beliau berkata sejumlah 24,708 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ia hasil pemeriksaan ke atas 67,265 kenderaan dengan kekuatan lebih 2,200 pegawai dan anggota JPJ yang melakukan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara.

Media Baharu