KUALA LUMPUR, 27 Mac- Lesen syarikat umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd digantung berkuat kuasa 28 Februari lalu hingga 31 Ogos ini.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi satu kenyataan memaklumkan, sepanjang tempoh penggantungan, syarikat tersebut hendaklah menyelesaikan semua perjalanan yang ditempah atau dibayar dan tidak membuat sebarang urus niaga baharu termasuk tidak membuat pengiklanan jualan pakej.
Syarikat itu juga diarahkan untuk memulangkan semula bayaran serta dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan dengan serta-merta.
MOTAC berkata pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI.
Terdahulu, pada 14 Januari 2025, Hejira Travel and Tours Holding Sdn Bhd didakwa gagal menguruskan perjalanan lebih 300 jemaah di bawah kendaliannya ke Tanah Suci.
Sementara itu, MOTAC turut memaklumkan mengenai pembatalan lesen syarikat Borneovac Travel Sdn Bhd berkuat kuasa pada 28 Februari lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, keputusan itu diambil selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992.
Syarikat Borneovac Travel Sdn Bhd sebelum ini didakwa mengoperasikan pakej memancing menggunakan bot laju sehingga memasuki perairan Filipina secara haram pada 1 September 2024.
Pelanggaran undang-undang itu menyebabkan 15 individu termasuk warganegara Malaysia dan China ditahan pihak berkuasa negara itu.