fb fb fb fb fb

Lencana Jalur Gemilang cerminan semangat patriotik murid – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir pada acara Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di SMK Bayan Lepas hari ini

BAYAN LEPAS, 18 April  – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan rasa bangga dan terharu sewaktu menyematkan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid dalam majlis simbolik yang berlangsung di SMK Bayan Lepas, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pengalaman itu bukan sahaja menyentuh perasaannya sebagai menteri, malah beliau berharap inisiatif itu dapat menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam diri murid sejak awal usia, sejajar dengan pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya.

"Anak-anak yang disematkan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam mereka juga tampak gembira memakainya.

"Manakan tidak, jika sebelum ini kita sering menonton di kaca televisyen bagaimana jaguh sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan Dato' Azizulhasni Awang berbangga dengan lencana Jalur Gemilang di dada masing-masing, kini nyala rasa tersebut dapat juga dihayati semua murid. Kitakan anak Malaysia!," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bermula Isnin depan, semua murid di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mula mengenakan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing.

Setiap murid akan dibekalkan dua pin lencana secara percuma.

Detik menyematkan lencana Jalur Gemilang itu turut dikongsikan bersama Timbalan Speaker Pulau Pinang, Datuk Azrul Mahathir Aziz, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN