fb fb fb fb fb

Lembaga Koko Malaysia pacu R&D koko untuk meningkatkan daya saing industri

Foto ihsan FB Johari Abdul Ghani

KOTA KINABALU, 27 Mei - Kerajaan menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) memainkan peranan penting memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) koko untuk meningkatkan daya saing industri itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pusat R&D LKM mengkhususkan dalam penanaman koko, pemprosesan lepas tuaian, pembiakan biji benih dan pengurusan, serta kawalan kualiti dan pembangunan produk.

"Usaha kita dalam sektor huluan terus membuahkan hasil dengan pengeluaran biji koko meningkat sebanyak 65 peratus daripada 269 tan metrik kepada 445 tan metrik tahun lepas," katanya dalam ucaptama beliau pada majlis pelancaran Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi MCB Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah MCB Datuk Dr Ramle Kasin.

Johari berkata Malaysia perlu menghidupkan semula pengeluaran koko tempatan untuk mengurangkan secara beransur-ansur ketidakseimbangan antara sektor hiliran yang pesat membangun dan pasaran huluan.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada jenis koko premium seperti biji koko perisa halus, biji koko asal dan biji koko organik untuk memenuhi permintaan kualiti global.

"Untuk menyediakan rantaian bekalan koko yang mampan dan bertanggungjawab, kita akan terus menumpukan kepada Sistem Kebolehkesanan Koko Kebangsaan yang sedang diusahakan ketika ini.

"Setelah selesai kelak, saya menggalakkan mereka yang mengimport biji koko untuk membawa sistem ini ke negara sumber mereka dan bekerjasama dengan petani di sana untuk melaksanakan kelestarian di peringkat perladangan," katanya.

Sementara itu, Johari berkata Malaysia komited untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2030, mengurangkan pelepasan gas metana sebanyak 30 peratus dan mengekalkan litupan hutan tidak kurang daripada 50 peratus.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah melaksanakan dasar melarang penyahhutanan dan memberi tumpuan kepada amalan pertanian yang baik dengan bahan tanaman berkualiti.

“Kita memulakan amalan perladangan lestari yang akan menghasilkan pulangan yang lebih tinggi dan harga premium untuk petani pada masa hadapan sambil melindungi alam sekitar dan hutan kita,” katanya.

MICF 2025 anjuran LKM yang berlangsung dari 24-27 Mei, menampilkan pameran, persidangan, makan malam kebudayaan, padanan perniagaan dan forum perniagaan.

.Acara itu berjaya menarik 1,000 peserta dari 16 negara, yang disertai pemimpin industri, penyelidik, pelabur dan pihak berkepentingan kerajaan untuk meneroka trend dan teknologi terkini dalam industri koko. - Bernama 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN