KOTA BHARU, 28 Januari-Mayat seorang kanak-kanak yang lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Kubang Telaga Bata, Bachok petang semalam telah dijumpai pada 9.40 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat Muhammad Asadullah Zehan,11 tahun ditemukan tidak jauh dari lokasi mayat abang mangsa, Muhamad Amirul Mukminin Zehan, 17 tahun yang ditemukan.
Beliau berkata, operasi pada hari ini disambung pada pukul 9.28 pagi dan mangsa dijumpai selepas 12 minit selaman dilakukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubor.
Katanya, seramai 19 anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera, tiga trak pikap dan sebuah bot digunakan bagi mencari mangsa.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Kita mula menyelam pada pukul 9.28 pagi. Seramai dua penyelam yang turun membuat pencarian untuk mangsa kedua yang berumur 11 tahun.
"Dalam masa 12 minit selaman pada jam 9.40 pagi, mangsa telah dijumpai tidak jauh daripada mangsa yang pertama iaitu abang beliau yang telah dijumpai pada jam 8.15 malam tadi (Isnin)", katanya demikian di sini.
Semalam media melaporkan dua beradik dikhuatiri lemas selepas mangsa, Muhamad Amirul Mukminin cuba menyelamatkan adiknya, Muhammad Asadullah yang terjatuh ke dalam tali air.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang semalam dan mayat Muhamad Amirul Mukminin telah ditemukan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan pada pukul 8.15 malam tadi.