fb fb fb fb fb

Harga bahan mentah meningkat, lemang dijual semakin mahal

KUALA LUMPUR, 23 April- Peningkatan harga bahan mentah seperti beras pulut, santan dan buluh menyebabkan segelintir peniaga lemang sekitar ibu kota terpaksa menaikkan harga juadah itu.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan permintaan pelanggan terhadap hidangan tradisi tersebut.

Beberapa pelanggan di sekitar gerai lemang di Sentul, di sini, mengakui terdapat sedikit kenaikan harga, namun ia tidak ketara.

"Bagi saya, untuk nak makan setahun sekali, ya kita sanggup berbelanja dengan harga tersebut.

Kita tak boleh salahkan peniaga sebab kita tahu harga bahan mentah semua naik, kita boleh terimalah harga sekarang," kata Mohd Norhafizi Ramli.

"Memang ada sedikit kenaikan, bagi saya tiada masalah untuk bayar.

Walaupun harga naik tapi tak melampau, masih mampu kita beli," ujar seorang lagi pelanggan, Mazlin Jamaluddin.

(Seorang peniaga menyiapkan lemang untuk dijual)

Sementara itu, bagi pengusaha, mereka sedaya upaya memastikan harga ditawarkan berpatutan, meski berdepan cabaran kos harga barangan.

Paling utama, lemang dijual masih mengekalkan saiz, kuantiti dan kualiti pada tahap terbaik.

"Naik itu berbeza mengikut saiz, kalau harga RM16, sebelum ni jual RM14 ikut berat dan kuantiti.

Secara purata, seringgit kita terpaksa naikkan tahun ini, walaupun selama ini kita kekalkan harga selama empat tahun," ujar Muhammad Izzat Hasif.

"Paling banyak meningkat ialah harga buluh sebab masa mula-mula dahulu, kami beli buluh dengan harga 60 sen, tetapi sekarang ini sudah RM1.50 dan ada yang mencecah RM2.00.

Kami dah naikkan harga kira-kira RM2.00, tapi syukur masih ramai lagi nak beli," kata Fadhanah Tajul Bariyah Razlan Shah.

Media Baharu