fb fb fb fb fb

Lelaki warga emas didakwa atas dua pertuduhan bunuh

BUKIT MERTAJAM, 14 Jun- Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan membunuh dua lelaki awal Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Tan Chew Heng, 66, yang mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah melakukan perbuatan membunuh Tu Soon Ee berusia 79, di daerah Seberang Perai Tengah antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang pada 6 Jun lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membunuh M.Murugasan, 58, di lokasi sama antara pukul 1.45 petang pada 6 Jun hingga 12.01 tengah malam 8 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 11 September depan untuk mendapatkan laporan forensik dan kimia.

Sementara itu, ketika prosiding, tertuduh meminta pihak mahkamah menghantarnya ke hospital sakit mental atas alasan dia pesakit yang memerlukan ubat antipsikotik kerana tiada pengambilan ubat tersebut sejak dia ditahan bagi siasatan kes bunuh.

Mohd Harith kemudian meminta tertuduh memaklumkan perkara tersebut kepada pihak penjara reman untuk tindakan lanjut.

(Foto hiasan)

Media Baharu