fb fb fb fb fb

Lelaki mengamuk, tendang kereta disahkan positif dadah

Lelaki tempatan berusia 20 tahun bertindak agresif dalam kejadian di Gelang Patah.

ISKANDAR PUTERI, 8 Julai - Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan polis selepas bertindak agresif dengan menendang sebuah kereta dalam kejadian kekecohan di Gelang Patah, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.37 malam di tepi jalan apabila suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah turut menunjukkan isyarat lucah kepada orang awam.

"Suspek dikatakan mengamuk selepas kereta dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan lain, menyebabkan tercetusnya perselisihan faham," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah dan kini ditahan reman hingga 10 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum itu, tular di media sosial satu rakaman berdurasi 20 saat yang memaparkan lelaki berkenaan menendang sebuah kereta berkali-kali ketika pemandu dan penumpang masih berada di dalam kenderaan terbabit.

TUN JULIA MOHD TAHIR