fb fb fb fb fb

ASEAN rangka dua deklarasi baharu hak asasi

Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada pertemuan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama wakil AICHR di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Dua deklarasi baharu sedang dirangka oleh Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bukti komitmen berterusan ASEAN dalam menangani isu hak asasi secara inklusif dan berorientasikan rakyat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dokumen tersebut amat penting dalam menjawab cabaran semasa berkaitan kesejahteraan rakyat, khususnya berkaitan alam sekitar, pembangunan dan keamanan.

“Kami menyambut baik usaha AICHR merangka dua deklarasi utama, iaitu Deklarasi ASEAN Mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan serta Deklarasi Mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan,” katanya ketika berucap dalam pertemuan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama wakil AICHR di ibu negara, hari ini.

Beliau menegaskan, kedua-dua deklarasi itu memberi tumpuan kepada keperluan mendesak rakyat, terutama golongan terdedah terhadap perubahan iklim, ketidaksamaan dan konflik.

“Deklarasi ini menegaskan komitmen AICHR yang tidak berbelah bahagi untuk terus memajukan hak asasi manusia di ASEAN, bukan sahaja dalam konteks cabaran semasa tetapi juga yang akan datang,” katanya.

Menurut beliau lagi, usaha itu selari dengan tema kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia iaitu 'Inklusif dan Mampan', yang mengangkat rakyat sebagai teras utama dalam pembinaan masa depan rantau.

Pada pertemuan sama, menteri terlibat turut meneliti Laporan Tahunan AICHR 2025 serta membincangkan cabaran dan hala tuju badan tersebut dalam memperkukuh kerjasama hak asasi di rantau ini.

Beliau berharap AICHR terus berkembang sebagai institusi berwibawa yang mendukung prinsip kesentralan dan perpaduan ASEAN, selari dengan Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD).

KHAIRUL AMRI BIN YASIN