SUNGAI BULOH, 30 Mei – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori dalam kejadian di hadapan Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.36 tengah hari.
“Setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori yang telah melanggar sebuah motosikal sebelum merempuh gerai penjaja serta pagar masjid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia 30 tahun ditemukan tersepit di bawah lori dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berjaya dikeluarkan pada pukul 1.44 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.